PEMBELIAN KAMERA DSLR MENGIKUT TREND

oleh : Malique (MRPhoto) 

Salam sahabat-sahabat. Kali ni saya ingin berkongsi lagi topik tentang trend. Kalau dulu saya paparkan trend-trend dalam bidang fotografi perkahwinan, tapi sekarang saya nak bincang sikit tentang trend membeli DSLR. 

Ketika ini banyak keluaran baharu kamera DSLR yang menjadi kegilaan muda mudi tidak kira dimana jua dan tidak mengira usia. Ada yang saya lihat umur 7,8 tahun pun dah ada kamera DSLR tergantung di leher masing-masing. Ini merupakan satu perkembangan positif dalam pasaran DSLR dimana ia mampu dimiliki oleh sesiapa jua bahkan bersifat friendly user. Persaingan antara pengeluar-pengeluar kamera juga semakin sengit dengan penambahbaikan fungsi serta kebolehan merakam video dan peningkatan kualiti pembuatan. 

Disebalik peningkatan pengeluaran dan penambahbaikan fungsi tersebut, ia adalah susulan daripada tercetusnya satu fenomena baharu bagi pengguna iaitu pembelian kamera DSLR mengikut trend. Kenapa dikatakan ikut trend? Saya mengatakan fenomena terbaharu ini kebanyakannya adalah mengikut trend. Ramai juga antara sahabat-sahabat saya yang sebelum ini tidak memiliki kamera, tiba-tiba dengar sudah pun membeli DSLR. Satu perkembangan menarik dalam industri, tapi selepas 2,3 bulan, saya dengar pula mereka sudah menjual kamera. Begitu juga kawan kepada kawan-kawan saya, ada yang memakai kamera DSLR tidak sampai 6 bulan, terpaksa jual kamera DSLR. Perkara yang terlintas di fikiran saya adalah, mungkin mereka perlukan cash segera atau minat dah berubah arah atau mungkin tidak mampu sustain dalam industri ini. 

TIPS SEBELUM MEMBELI DSLR 

Pertama, Sebelum membuat keputusan untuk membeli kamera DSLR, fikirkan dahulu matlamat utama untuk membelinya. Jika kerana minat, pastikan minat itu betul-betul mendalam kerana orang yang betul-betul berminat dengan DSLR, dia tidak akan sanggup menjual semula DSLR walau apapun situasinya. Dan jika minatnya mendalam, dia tidak akan sesekali meninggalkan bidang fotografi dan sentiasa inginkan kepuasan melalui bidang ini. 

Kedua, Sebelum membeli DSLR juga, pastikan tidak mengikut trend atau terpengaruh dengan kawan-kawan yang senantiasa ‘mencucuk’ kita sama ada secara terang-terangan atau secara tidak kita sedar. Jika kita membeli DSLR kerana trend ‘orang ada kamera kita pun wajib ada kamera’, maka ianya tidak akan mampu bertahan lama. Sebulan dua, kamera hanya terperuk di rumah ataupun berpindah tangan melalui pertukaran cash dan nilai. 

Ketiga, Sebelum membeli kamera DSLR jika niat kita untuk menceburi bidang fotografi sosial seperti wedding, portrait, modeling dan sebagainya, pastikan kita membuat perancangan awal yang rapi. Dalam bidang ini, persaingan amat sengit dan memerlukan komitmen tinggi atas setiap usaha. Ianya bukan sesuatu yang mudah. Perancangan kita harus meliputi seawal pembabitan sehingga kemana kita mahu capai dalam bidang ini. Justeru, pemikiran harus berasaskan pembinaan tapak dalam industri sehingga bagaimana untuk sustain dalam bidang ini. Kualiti adalah sesuatu yang amat dicari oleh pelanggan dan ia menuntut seribu pengorbanan. Jika kita tidak mampu sustain dalam bidang ini, maka elokla lupakan niat untuk membeli DSLR atau memceburi bidang Fotografi Sosial. 

Keempat, jika niat kita membeli DSLR hanya kerana suka-suka maka elokla membuat pilihan belian yang betul. Sesetengah dari kita dicucuk oleh rakan-rakan sehingga kita membeli kamera DSLR yang sangat mahal untuk tujuan suka-suka sahaja. Adalah tidak menjadi masalah untuk membeli DSLR yang mahal untuk tujuan suka-suka jika kedudukan kewangan kita adalah baik, namun ada sesetengahnya sanggup berhutang dengan bank untuk membeli DSLR mahal untuk tujuan suka-suka dan akhirnya terpaksa menanggung beban loan sehingga 20 tahun, berbaloikah? Syarikat pengeluar kamera menawarkan berbagai variasi pilihan untuk pengemar photo. Dari yang murah sehingga yang mahal giler. Pilih ikut kemampuan dan mengikut kegunaan. Jangan memilih dan membeli mengikut trend yang akhirnya merugikan diri sendiri. 

Saya harap beberapa tips asas tadi mampu membuatkan sahabat-sahabat berfikir sebelum membuat pembelian. Trend itu bagus bagi sesetengah pihak terutamanya pengeluar, namun dipihak pengguna, harus mengkaji terlebih dahulu agar wujudnya situasi ‘menang membeli menang memakai’. itu saja dari saya untuk kali ini. Semoga mendapat info berguna dan semoga berjumpa lagi.

FOTOGRAFI PERKAHWINAN : PHOTOGRAPHER MOMENT ATAU PHOTOGRAPHER MODEL?


oleh : Malique (MR. Photo)

Salam Pertemuan. Terima kasih kerana sudi membaca ruangan posting ini. Seperti biasa saya akan berkongsi pandangan dan pengalaman saya dalam bidang fotografi yang tak seberapa ini dan yang boleh juga saya istilahkan diri saya sebagai pemerhati trend dan style photographer masa kini.

Tentu ramai yang pernah lihat style modeling photoshoot yang terpapar diruangan iklan, majalah dan billboard di tepi-tepi jalanraya dan lebuhraya. Menarik bukan? dengan possing yang sesuai serta ‘ada style’ untuk memperagakan produk syarikat yang diwakili masing-masing. Strategi menggunakan subjek yang sesuai untuk sesuatu produk yang diwakili adalah startegi yang baik kerana ia mampu menarik perhatian dan minat pelanggan supaya membeli produk mereka di pasaran. Ia boleh dianggap sebagai persaingan hebat antara syarikat-syarikat pengeluar dengan menggunakan ‘iklan bisu’ dan hanya perlu menggunakan subjek dan kata-kata manis sehingga mencairkan hati setiap yang melihat.

Subjek yang biasa digunakan untuk memperagakan produk masing-masing adalah sama ada seorang model ataupun artis-artis terkenal. Biasanya untuk lebih cepat laris, golongan artis yang biasa digunakan. Guna bukan sebarang guna, tapi ‘masyukkkkk’.

Kenapa saya bercerita tentang produk dan pengiklanan? apa kaitan dengan fotografi perkahwinan? mai saya cerita. Sama ada anda perasan atau tidak style possing wedding photographer pada ketika ini lebih kepada possing modeling. Pandang kanan, pandang kiri, pandang atas dan pandang mana-mana sahaja la tanpa memandang kamera. Adakah ianya salah? TIDAK salah. Idea dan kreativiti masing-masing. kalau pengantin suka, buat je. 

Apa pandangan saya terhadap modeling possing style? Saya juga kadang-kadang ambil gambar menggunakan modeling possing, tapi tak banyak la. Pada saya pengantin bukan model atau bahan ujikaji. Ambil sikit-sikit possing model yang selebihnya saya suka lebihkan mengambil gambar moment. Saya sukakan gelak tawa pengantin dan ia sangat indah untuk ditatap tanpa jemu. Moment bukan bermakna gambar yang terjadi secara semula jadi sahaja. Kadang-kadang moment juga hadir semasa kita cuba mewujudkan suasana di antara pengantin. Istilah moment yang hadir secara semulajadi yang lebih dekat dengan bibir kita adalah ‘candid’. Moment juga boleh hadir dengan penggunaan tone pada kamera ataupun enhance dari photoshop. Walaubagaimanapun, tak semua moment itu bermakna kepada pengantin, justeru setiap photographer perlu ada seni tambahan iaitu ‘seni melihat’ atau art of seeing. Dengan perletakan komposisi yang betul dan menarik, moment pasti hadir.

Tidak kisah apapun style yang digunakan, macam biasa yang pentingnya pengantin suka dan orang-orang yang melihatnya juga turut suka. Sekali seumur hidup kan.  

Trend atau Keperluan?


oleh : Malique (MR.Photo)

Alhamdulillah, tambah satu bulan lagi dalam tahun 2012 ini. Untuk enteri pertama bulan April ini, saya ingin berkongsi kepada rakan-rakan pembaca berkenaan satu topik yang saya kira menarik untuk diketengahkan. Apa pandangan anda sekiranya diajukan soalan perlukah menggunakan khidmat jurugambar perkahwinan untuk majlis perkahwinan anda atau adakah kalau anda tidak mengupah jurugambar, anda dikatakan tidak mengikut trend semasa?

Pandangan peribadi saya sendiri adalah, ‘Ya’ saya perlukan jurugambar untuk majlis perkahwinan saya kerana mereka akan mendokumenkan hari bersejarah saya yang bakal diingati dan dipertontonkan kepada anak cucu saya nanti. Untuk jawapan adakah saya tidak mengikut trend jika tidak mengupah jurugambar perkahwinan, jawapan saya ‘tidak’ dan ‘ya’. Jawapan ‘Tidak’ adalah kerana saya tidak perlu mengikut trend kerana ia bergantung kepada kemampuan saya. Jawapan ‘Ya’ pula adalah kerana apabila selesai majlis perkahwinan, ramai akan bertanya atau meminta untuk melihat album perkahwinan saya dan pada masa itu saya akan menyesal kerana tidak mengupah jurugambar pada majlis perkahwinan saya. Pernah juga saya mempunyai impian untuk melihat gambar perkahwinan ibu bapa saya dahulu, tapi sayang tidak ada, mungkin kerana kesempitan hidup dahulu maka ibu bapa saya tidak mampu mangupah jurugambar atau tidak terfikir langsung untuk mengupah jurugambar kerana pada masa itu, trend mengupah jurugambar hanyalah dikalangan mereka yang mempunyai kedudukan dan harta sahaja. Tetapi apa yang boleh dikongsikan bersama di sini adalah, anak-anak saya akan datang tidak dapat melihat gambar perkahwinan saya dan isteri jika saya tidak mengupah jurugambar hari ini.

Sama ada mengikut trend atau tidak, itu bukanlah isu yang besar.  Yang penting adalah kemampuan dan keinginan pasangan pengantin sendiri. Namun begitu, kelahiran ramai jurugambar majlis perkahwinan pada ketika ini memberikan satu fenomena berbeza yang tidak mampu ditolak oleh setiap pasangan yang ingin berumahtangga. Sebut sahaja nak kahwin, pilihan jurugambar terbentang luas di depan mata dan di hujung jari. Letakkan saja penanda aras harga, bermacam sebut harga terhidang di depan mata dan di corong telinga (Pilih baik-baik dik). Ia bagaikan satu virus yang menyerang pengantin dalam pencarian jurugambar.

Bercakap tentang trend juga, kini wujud berbagai trend possing dan kreativiti dari jurugambar (macam-macam ada). Dari possing melompat, meniarap, memanjat, memandang langit, memandang kanan dan kiri, main kejar-kejar sehingga possing di dalam air. Tidak kira apa pun bentuk possing anda, yang penting pengantin suka dan rela untuk membuatnya. Melalui pemerhatian saya dan pandangan saya sendiri, jurugambar-jurugambar masakini sentiasa bersaing untuk memperlihatkan kreativiti mereka yang dianggap berbeza dari jurugambar lain. Oleh kerana itulah lahirnya berbagai-bagai possing yang rata-ratanya boleh diterima oleh masyarakat yang melihat dan tak kurang juga ada yang tak suka. (Saya suka yang simple tapi ada moment). Ada juga jurugambar yang berada dalam ketegori ‘Syok Sendiri’. Main redah saja possing tanpa bertanya kepada pengantin, mereka suka atau tidak possing tu. Dik, kita nak ambik gambar pengantin, jadi jangan ketepikan pendapat mereka. Mungkin kita jurugambar yang sukakan landskap dan portfolio kita pun banyak gambar pengantin dan landskap, tapi kena tanya pengantin juga mereka suka bentuk gambar yang macam mana, sama ada landskap atau portrait. Kalau dah semua gambar yang kita ambil lebih fokus pada landskap, mana perginya moment perkahwinan mereka. Sekeping dua boleh la ambik gambar landskap, selebihnya ambil la gambar portrait (gambar yang lebih memfokuskan wajah mereka). Dan juga satu ingatan, jangan buat possing membahayakan diri pengantin mahupun jurugambar sendiri. Aspek keselamatan, perlu diutamakan.

Selain trend possing, satu perkara yang menjadi trend terbaru jurugambar kini adalah ‘editing’ pada gambar. Pagi-pagi buka facebook, terpapar macam-macam jenis editing gambar perkahwinan (pada yang add jurugambar la). Ada editing biasa, tone dan tak kurang juga editing melampau. Dik, untuk publish tak menjadi masalah untuk buat editing melampau, tapi untuk album, tolong elakan editing melampau. Ini kerana, editing melampau akan menghilangkan keaslian gambar tersebut. Tak perlu saya ceritakan apa itu editing melampau, masing-masing tahu perkara tersebut. Akan tetapi, kalau pengantin suka, tidak menjadi masalah untuk edit melampau sehingga tidak boleh diterima oleh akal sekalipun.

Itu semua pendapat peribadi saya sahaja. Masing-masing ada cara tersendiri dalam berkarya. Yang penting pengantin puas hati. Tidak kira apa pun konsep yang kita gunakan, lakukan dengan terbaik kerana gaji ‘halal’ yang dibayar kepada kita adalah untuk sesuatu yang terbaik sepertimana yang mereka harapkan.

(Apa pula trend 2013 ye? emmmm?????)