Apakah Jenama Kamera Yang Terbaik

Hai semua, dah lama saya tak menulis dalam enteri ini. Kebelakangan ini agak sibuk dengan tugas hakiki. Sebenarnya, nak menulis kali ini pun tak sempat, so saya post kan sahaja tulisan En. Hasnudin Abu Samah ini untuk tatapan bersama. Semoga mendapat info berguna.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Ini mungkin satu soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat fotografi yang baru menceburi bidang ini – “Apakah jenama kamera yang terbaik?” Sebenarnya, tidak ada satu jawapan yang tepat untuk soalan ini –  semuanya bergantung kepada keperluan dan citarasa setiap individu. Namun, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Ada banyak jenama kamera di pasaran. Ada sesetengah jenama yang jarang didengari kerana mereka mengeluarkan kamera khas untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya, jenama kamera Horseman dan Sinar mengkhusus dalam pembuatan View Camera dan kamera berkualiti tinggi yang hanya digunakan oleh segelintir jurufoto yang mengkhusus dalam bidang tertentu.

Ada pula sesetengah jenama yang lebih dikenali sebagai pengeluar jenis kamera yang tertentu. Contohnya, jenama Leica lebih popular sebagai pengeluar kamera jenis Rangefinder (walaupun Leica turut mengeluarkan kamera compact dan DSLR) Jenama Hasselblad pula lebih dikenali sebagai pengeluar kamera Medium Format yang ulung. Kedua-dua jenama ini menghasilkan kamera berkualiti tinggi dan harga kamera mereka jauh lebih mahal dari kamera DSLR yang biasa kita gunakan.

Jadi, dari segi kualiti gambar, kamera berjenama Hasselblad bolehlah dikatakan sebagai di antara beberapa kamera yang terbaik di dunia. Tetapi, ianya bukan kamera yang sesuai untuk semua orang kerana harganya yang sangat mahal dan kameranya lebih besar dan lebih berat dari kamera DSLR biasa. Walaupun kualitinya baik, tetapi kamera ini tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk kebanyakan orang.
Untuk kamera jenis DSLR, antara jenama yang popular adalah – Nikon, Canon, Sony, Olympus dan Pentax. Sebenarnya, selain dari kualiti kamera itu sendiri, populariti jenama-jenama ini turut dipengaruhi oleh strategi pemasaran dan penjenamaan yang dibuat oleh mereka di sesuatu negara tertentu. Contohnya, ada sesetengah jenama kamera yang lebih popular di Jepun, tetapi kurang popular di Malaysia. Jenama yang popular tidak semestinya menghasilkan kamera yang terbaik. Namun, secara umumnya, adalah lebih ‘selamat’ untuk memilih kamera dari jenama yang popular dan ramai penggunanya.
Setiap jenama meletakkan harga yang berbeza kepada peralatan mereka berbanding jenama lain. Peralatan yang berkualiti biasanya berharga lebih mahal. Selain dari itu, prestij sesuatu jenama biasanya akan turut mempengaruhi harga produk yang mereka jual.
Selain memberi perhatian kepada kualiti sesuatu kamera, anda juga harus pertimbangkan mengenai kualiti perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh jenama-jenama kamera ini. Adakah mudah untuk memperbaiki kamera yang rosak misalnya? Adakah perkhidmatan yang diberikan cepat dan berharga patut?
Setiap syarikat atau jenama pengeluar kamera mempunyai misi dan visi mereka yang tersendiri. Ada jenama yang lebih maju dari segi teknologi, ada jenama yang lebih mengutamakan kualiti, ada jenama yang lebih cenderung membuat kamera bersaiz kecil dan sebagainya.
Satu lagi perkara penting yang perlu anda ketahui ialah, setiap jenama kamera mempunyai sistemnya yang tersendiri yang tidak sama dengan sistem kamera dari jenama lain. Peralatan seperti kamera, lensa dan flash dari jenama tertentu majoritinya hanya boleh digunakan di kalangan jenama yang sama sahaja. Contohnya, kamera jenama Canon tidak boleh menggunakan lensa dari jenama Nikon (kecuali dengan pengubahsuaian khas) Malah, ada juga peralatan dari jenama yang sama tetapi tidak boleh digunakan untuk model yang berbeza. Jadi, adalah penting untuk anda pastikan setiap peralatan yang akan dibeli boleh digunakan dengan peralatan yang telah sedia ada. Isu keserasian peralatan ini lebih dikenali sebagai compatibility.

Selain dari serasi dengan jenama yang sama, setiap kamera juga boleh berfungsi dengan peralatan dari jenama lain asalkan peralatan tersebut dibuat agar serasi dengannya. Jenama seperti Tokina, Tamron dan Sigma membuat berbagai lensa yang sesuai digunakan oleh kamera dari jenama lain. Syarikat ini dikenali sebagai third party lens maker. Biasanya harga lensa yang dibuat oleh syarikat third partyberharga lebih murah dari lensa yang dibuat oleh jenama pembuat kamera yang asal. Cuma pastikan lensa third party yang ingin anda beli boleh digunakan untuk kamera anda.

Selain dari lensa yang dibuat oleh syarikat third party, ada juga syarikat third party yang mengeluarkan flash seperti dari jenama Metz dan Nissin yang serasi digunakan dengan kamera dari jenama Nikon, Canon dansebagainya.

Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kamera dari jenama tertentu, anda perlu fikirkan betul-betul secara keseluruhan dan mengambil kira penggunaan kamera tersebut dalam jangka masa panjang. Ini kerana, sebaik saja anda telah membeli kamera dari jenama tertentu, anda akan ‘terikat’ di dalam sistem kamera itu sahaja. Setiap lensa, flash dan aksesori yang akan dibeli selepas itu mestilah sesuai untuk jenama yang anda gunakan sahaja.

Dalam jangka masa beberapa tahun, anda akan membeli berbagai lensa dan aksesori dari sistem yang sama. Jika pada satu ketika anda ingin menggunakan kamera dari jenama atau sistem lain, anda perlu menjual kesemua peralatan yang telah anda miliki. Ini akan menyebabkan kerugian dan anda juga terpaksa bermula sekali lagi – membeli lensa-lensa dan aksesori baru untuk jenama kamera yang baru anda beli. Penggunaan lebih dari satu sistem kamera dalam masa yang sama biasanya tidak digalakkan kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.
Satu lagi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli kamera ialah – seeloknya anda membeli kamera yang sama jenama dengan kamera yang rakan anda gunakan. Ini akan memberi banyak kemudahan kepada anda dari segi perkongsian maklumat tentang sistem kamera tersebut. Malah, anda boleh bertukar-tukar lensa dan aksesori dengan rakan anda sekiranya keadaan memerlukan.
Setelah anda membandingkan berbagai jenis kamera, anda mungkin akan berhadapan dengan situasi dimana anda perlu memilih satu diantara dua kamera dari berlainan jenama. Setelah membandingkan spesifikasi kedua-dua kamera tersebut, anda mungkin mendapati keduanya adalah hampir sama. Salah satu penyelesaian untuk masalah ini ialah, pilih saja kamera berdasarkan jenama yang anda minati atau pilih saja kamera yang anda suka berdasarkan rekabentuknya semata-mata. Keputusan di sini adalah lebih kepada citarasa anda terhadap imej luaran yang ditampilkan oleh rekabentuk kamera tersebut. Akhir sekali, faktor ini jugalah yang akan membuatkan anda rasa suka dan bangga dengan kamera anda.
Persoalan mengenai jenama kamera terbaik memang sentiasa diutarakan terutamanya oleh peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Hakikatnya, setiap jenama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Pilihan adalah di tangan anda – buatlah keputusan berdasarkan keperluan, bajet dan citarasa anda sendiri. Apa pun jenama yang anda gunakan, kemahiran anda dalam fotografi jugalah yang akhirnya akan menentukan tahap kehebatan anda sebagai seorang jurufoto.