oleh : Malique (MR.PHOTO)
Saya tertarik dengan rangkap
tulisan yang ditulis oleh pengarang dalam Majalah Aperture keluaran Mac 2012
diruangan Fokus tentang fotografi sosial. Sedikit pebincangan berkenaan isu fotografi
perkahwinan dan saya bersetuju dengan tulisan pengarang tersebut.
Katanya “ fotografi perkahwinan
merupakan tanggungjawab berat dan tiada istilah ‘cuba lain kali’ atau ‘peluang
kedua’. Jika anda tidak yakin akan keupayaan diri, elakkan daripada menerima
tugasan merakam perkahwinan.”
Sememangya saya dan ramai photographer perkahwinan lain mengakui
tugas sebagai jurugambar rasmi majlis perkahwinan sebenarnya bukan kerja
main-main dan aktiviti suka-suka dan boleh saya istilahkan sebagai satu tugas ‘berat’.
Justeru hasil kerja perlulah yang
terbaik untuk pelanggan kerana kita dibayar untuk perkhidmatan tersebut.
Berdepan dengan khalayak bukanlah
sesenang yang disangkakan, apatah lagi kerja sebagai photographer perkahwinan bukan sekadar memerlukan kemahiran
menangkap gambar tetapi kemahiran berkomunikasi juga perlu tinggi untuk
mengawal situasi majlis. Memang benar, bukan sekadar Pengacara Majlis yang
mengawal majlis, photographer juga
turut memainkan peranan penting dan untuk itu photographer perlu sentiasa ke depan dan dalam masa yang sama memberi
ruang kepada jurugambar-jurugambar lain untuk mengambil gambar pengantin. Komunikasi
dengan mak andam juga penting untuk mewujudkan suasana ‘menang-menang’. Kadang
kala mak andam selalu mengganggu tugas photographer dan photographer juga selalu
mengganggu tugas mak andam, justeru komunikasi yang betul perlu wujud agar
kedua-dua pihak selesa untuk bekerja.
Photographer juga perlu berani memberikan arahan kepada pengantin
dan ahli keluarga untuk bekerjasama jika tidak hasil gambar yang kita mahukan
pasti tidak akan diperolehi. Bagi majlis yang berjalan hambar tanpa ada suasana
yang menarik, photographer perlu
bertindak untuk mewujudkan suasana menarik dalam majlis agar gambar yang diambil nampak meriah dan
menarik. Situasi meriah perlu diwujudkan kerana apabila ia dipindahkan ke dalam
album nanti, suasana itu seolah-olah hidup dan tidak bosan untuk dilihat
berkali-kali.
Berdepan dengan saudara mara dan
tetamu yang tiada respek kepada photographer juga ada berlaku dalam
majlis. Justeru, photographer perlu
lebih tenang dan pandai mengambil hati mereka untuk menyenangkan kerja
mengambil gambar. Sentiasa wujudkan suasana gurau senda dan selesa tanpa
mengabaikan tanggungjawab sebagai jurugambar.
Sebenarnya, ada banyak lagi
situasi sukar yang dihadapi oleh photographer
yang menunjukkan bahawa tugas seorang photographer
bukanlah semudah yang disangkakan. Pengatahuan, ilmu dan pengalaman perlu ada
sebelum benar-benar menceburi bidang fotografi perkahwinan. Saya sendiri juga
punyai pengalaman pertama yang mendebarkan saat mula-mula menceburi bidang ini
kerana saya bermula tanpa ada tunjuk ajar dari kenalan dan saya buat seorang
diri dengan menggunakan kamera pinjam. Malah sehingga kini walaupun sudah ramai
pengantin yang menjadi pelanggan saya, perasaan berdebar masih ada sebelum
memulakan tugas kerana lain pengantin lain situasinya. Tetapi wajib bagi saya
untuk menunjukkan sifat professional semasa
bekerja dan membuat sehabis baik untuk pelanggan. Walau apa pun perasaan kita
sebelum ini, beri keutamaan kepada pelanggan kerana mereka mengharapkan kita
untuk mendokumenkan majlis mereka di dalam bentuk persembahan yang menarik dan indah
untuk diingati selamanya.
Satu perkara yang amat penting
juga adalah hasil akhir kerja kita. Pada pendapat saya semua orang boleh
mengambil gambar dengan baik dan dengan sangat baik. Namun penilaian pelanggan
adalah pada hasil akhir kita iaitu album. Jika hasil kita menarik, pelanggan
akan meng ‘war-war’ kan nama kita kepada sahabat dan saudara mara yang lain.
Dan jika sebaliknya, maka kita akan cepat ‘mati’ sebelum ajal dalam industri
ini. Persaingan semakin hebat, photographer
perkahwinan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pelanggan punyai banyak
pilihan baik dari segi hasil kerja ataupun nilai wang. Bagi pelanggan yang
bijak, mereka akan memilih photographer
yang mementingkan mutu bersesuaian dengan harga. Bagi pelanggan yang kekurangan
sumber kewangan, mereka akan memilih photographer
yang boleh memberikan mereka pakej terendah di pasaran. Dalam hal ini
kadang kala saya turut bersimpati kerana hasil kerja akhir beberapa photographer perkahwinan tidak begitu
menarik dan tangkap muat sahaja. Alasan yang diberikan adalah pelanggan ‘bayar
murah’. Saya hanya terdiam dan mengatakan dalam hati ‘kesian’. Namun apa lagi
yang boleh saya katakan, kerana realiti memang seperti itu, ‘what you give, you get back’.
Menjadi photographer perkahwinan menemukan saya dengan banyak pengalaman
pahit dan manis. Memang benar, tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan jika
tidak bersedia dan yakin, lebih baik jangan menjadi photographer perkahwinan. Juruskan lah minat anda kepada fotografi
landskap atau fotografi jalanan. Selain itu, jika benar-benar minat dalam
bidang fotografi perkahwinan, pergilah belajar dari sahabat-sahabat atau guru
fotografi. Di luar sana ramai yang mebuka kelas fotografi dengan pakej harga
yang bersesuaian. Melabur lah sedikit wang untuk ilmu dan pengalaman. Tidak
kurang juga yang bermula sebagai pembantu photographer
sehinggalah dia benar-benar yakin untuk menjadi official photographer. Apa yang penting adalah minat yang mendalam
yang akhirnya membangkitkan keghairahan dalam bidang fotografi.