Hai semua, dah lama saya tak menulis dalam enteri ini. Kebelakangan ini agak sibuk dengan tugas hakiki. Sebenarnya, nak menulis kali ini pun tak sempat, so saya post kan sahaja tulisan En. Hasnudin Abu Samah ini untuk tatapan bersama. Semoga mendapat info berguna.
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Ini
mungkin satu soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat fotografi yang baru
menceburi bidang ini – “Apakah jenama kamera yang terbaik?” Sebenarnya, tidak
ada satu jawapan yang tepat untuk soalan ini – semuanya bergantung kepada
keperluan dan citarasa setiap individu. Namun, ada beberapa perkara yang anda
perlu tahu bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.
Ada banyak jenama kamera di pasaran.
Ada sesetengah jenama yang jarang didengari kerana mereka mengeluarkan kamera
khas untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya, jenama kamera Horseman dan
Sinar mengkhusus dalam pembuatan View Camera dan kamera berkualiti
tinggi yang hanya digunakan oleh segelintir jurufoto yang mengkhusus dalam
bidang tertentu.
Ada pula sesetengah jenama yang lebih
dikenali sebagai pengeluar jenis kamera yang tertentu. Contohnya, jenama Leica
lebih popular sebagai pengeluar kamera jenis Rangefinder (walaupun Leica turut
mengeluarkan kamera compact dan DSLR) Jenama
Hasselblad pula lebih dikenali sebagai pengeluar kamera Medium
Format yang
ulung. Kedua-dua jenama ini menghasilkan kamera berkualiti tinggi dan harga
kamera mereka jauh lebih mahal dari kamera DSLR yang biasa kita gunakan.
Jadi,
dari segi kualiti gambar, kamera berjenama Hasselblad bolehlah dikatakan
sebagai di antara beberapa kamera yang terbaik di dunia. Tetapi, ianya bukan
kamera yang sesuai untuk semua orang kerana harganya yang sangat mahal dan
kameranya lebih besar dan lebih berat dari kamera DSLR biasa. Walaupun
kualitinya baik, tetapi kamera ini tidak semestinya menjadi pilihan terbaik
untuk kebanyakan orang.
Untuk
kamera jenis DSLR, antara jenama yang popular adalah – Nikon, Canon, Sony,
Olympus dan Pentax. Sebenarnya, selain dari kualiti kamera itu sendiri,
populariti jenama-jenama ini turut dipengaruhi oleh strategi pemasaran dan
penjenamaan yang dibuat oleh mereka di sesuatu negara tertentu. Contohnya, ada
sesetengah jenama kamera yang lebih popular di Jepun, tetapi kurang popular di
Malaysia. Jenama yang popular tidak semestinya menghasilkan kamera yang
terbaik. Namun, secara umumnya, adalah lebih ‘selamat’ untuk memilih kamera
dari jenama yang popular dan ramai penggunanya.
Setiap
jenama meletakkan harga yang berbeza kepada peralatan mereka berbanding jenama
lain. Peralatan yang berkualiti biasanya berharga lebih mahal. Selain dari itu,
prestij sesuatu jenama biasanya akan turut mempengaruhi harga produk yang
mereka jual.
Selain
memberi perhatian kepada kualiti sesuatu kamera, anda juga harus pertimbangkan
mengenai kualiti perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh jenama-jenama
kamera ini. Adakah mudah untuk memperbaiki kamera yang rosak misalnya? Adakah
perkhidmatan yang diberikan cepat dan berharga patut?
Setiap
syarikat atau jenama pengeluar kamera mempunyai misi dan visi mereka yang
tersendiri. Ada jenama yang lebih maju dari segi teknologi, ada jenama yang
lebih mengutamakan kualiti, ada jenama yang lebih cenderung membuat kamera
bersaiz kecil dan sebagainya.
Satu lagi perkara penting yang perlu
anda ketahui ialah, setiap jenama kamera mempunyai sistemnya yang tersendiri
yang tidak sama dengan sistem kamera dari jenama lain. Peralatan seperti
kamera, lensa dan flash dari jenama tertentu
majoritinya hanya boleh digunakan di kalangan jenama yang sama sahaja.
Contohnya, kamera jenama Canon tidak boleh menggunakan lensa dari jenama Nikon
(kecuali dengan pengubahsuaian khas) Malah, ada juga peralatan dari jenama yang
sama tetapi tidak boleh digunakan untuk model yang berbeza. Jadi, adalah
penting untuk anda pastikan setiap peralatan yang akan dibeli boleh digunakan
dengan peralatan yang telah sedia ada. Isu keserasian peralatan ini lebih
dikenali sebagai compatibility.
Selain dari serasi dengan jenama yang
sama, setiap kamera juga boleh berfungsi dengan peralatan dari jenama lain
asalkan peralatan tersebut dibuat agar serasi dengannya. Jenama seperti Tokina,
Tamron dan Sigma membuat berbagai lensa yang sesuai digunakan oleh kamera dari
jenama lain. Syarikat ini dikenali sebagai third
party lens maker.
Biasanya harga lensa yang dibuat oleh syarikat third
partyberharga
lebih murah dari lensa yang dibuat oleh jenama pembuat kamera yang asal. Cuma
pastikan lensa third party yang ingin anda beli
boleh digunakan untuk kamera anda.
Selain dari lensa yang dibuat oleh
syarikat third party, ada juga
syarikat third party yang mengeluarkan
flash seperti dari jenama Metz dan Nissin yang serasi digunakan dengan kamera
dari jenama Nikon, Canon dansebagainya.
Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kamera dari jenama tertentu, anda perlu fikirkan betul-betul secara keseluruhan dan mengambil kira penggunaan kamera tersebut dalam jangka masa panjang. Ini kerana, sebaik saja anda telah membeli kamera dari jenama tertentu, anda akan ‘terikat’ di dalam sistem kamera itu sahaja. Setiap lensa, flash dan aksesori yang akan dibeli selepas itu mestilah sesuai untuk jenama yang anda gunakan sahaja.
Dalam
jangka masa beberapa tahun, anda akan membeli berbagai lensa dan aksesori dari
sistem yang sama. Jika pada satu ketika anda ingin menggunakan kamera dari
jenama atau sistem lain, anda perlu menjual kesemua peralatan yang telah anda
miliki. Ini akan menyebabkan kerugian dan anda juga terpaksa bermula sekali
lagi – membeli lensa-lensa dan aksesori baru untuk jenama kamera yang baru anda
beli. Penggunaan lebih dari satu sistem kamera dalam masa yang sama biasanya
tidak digalakkan kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.
Satu
lagi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli kamera ialah –
seeloknya anda membeli kamera yang sama jenama dengan kamera yang rakan anda
gunakan. Ini akan memberi banyak kemudahan kepada anda dari segi perkongsian
maklumat tentang sistem kamera tersebut. Malah, anda boleh bertukar-tukar lensa
dan aksesori dengan rakan anda sekiranya keadaan memerlukan.
Setelah
anda membandingkan berbagai jenis kamera, anda mungkin akan berhadapan dengan
situasi dimana anda perlu memilih satu diantara dua kamera dari berlainan
jenama. Setelah membandingkan spesifikasi kedua-dua kamera tersebut, anda
mungkin mendapati keduanya adalah hampir sama. Salah satu penyelesaian untuk
masalah ini ialah, pilih saja kamera berdasarkan jenama yang anda minati atau
pilih saja kamera yang anda suka berdasarkan rekabentuknya semata-mata.
Keputusan di sini adalah lebih kepada citarasa anda terhadap imej luaran yang
ditampilkan oleh rekabentuk kamera tersebut. Akhir sekali, faktor ini jugalah
yang akan membuatkan anda rasa suka dan bangga dengan kamera anda.
Persoalan
mengenai jenama kamera terbaik memang sentiasa diutarakan terutamanya oleh
peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Hakikatnya,
setiap jenama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Pilihan adalah
di tangan anda – buatlah keputusan berdasarkan keperluan, bajet dan citarasa
anda sendiri. Apa pun jenama yang anda gunakan, kemahiran anda dalam fotografi
jugalah yang akhirnya akan menentukan tahap kehebatan anda sebagai seorang
jurufoto.
No comments:
Post a Comment