Salam semua..hai...untuk enteri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang disampaikan oleh guru fotografi saya. semoga mendapat info berguna.
oleh: Hasnudin Abu Samah (fototeacher)
Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah
dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila
dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang
yang saya minati. Tapi, macam tidak percaya, rupanya ada juga subjek matematik
yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu
dinamakan Photo Science Mathematics!
Sebenarnya penting juga
subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ini. Sebabnya, fotografi
dicipta melalui sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu
matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik
untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number
dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tidak perlulah risau, sebab kalau anda tidak
pandai matematik pun, anda masih boleh jadi jurufoto yang bagus juga. Baiklah,
cerita tadi cuma intro sahaja.
Saya hendak bercakap pasal perkara lain sebenarnya.
Fotografi tidak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang
kreatif dimana penilaian terhadap mutu sesuatu karya adalah begitu subjektif.
Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik
dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan sahaja sebenarnya. Tidak ada
betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.
Jangan terima bulat-bulat
apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda.
Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang telah diberikan
tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi dikatakan, kalau rakam foto,
subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tetapi, itu tidak
semestinya. Gambar yang kabur (blur/out of focus) pun boleh menjadi
gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah
mengenai noise. Secara
teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah
gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang
berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pula segelintir ‘kaum’, bila tengok
gambar orang saja, dia cari noise! Kalau
nampak noisepada
gambar orang, noise itu
yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya,
gambar yang ada noise pun
boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang
ada noise itu
ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka
kelemahan noise itu
bolehlah diabaikan saja.
Maka, akan ada pula yang
akan bertanya, “Kalau noise tak
penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab pengeluar kamera perlu
bersaing untuk jual kamera mereka. Siapa yang dapat buat kamera yang paling
canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah begitu, kita memang ingin
makin maju, bukan makin mundur. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan,
janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada
sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan
fotografi landscape. Itupun,
tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan
yang blur dan
banyak noise. Cantik
juga bila kena dengan konsepnya.
Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian
gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik,
tiba-tiba gambar orang lain pula yang menang. Janganlah marah atau kecil hati.
Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang
cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang
dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurufoto yang
berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada
perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan
pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi,
biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka
juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari
pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah
satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah
barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam
gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya,
jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau
kita hantar gambar hitam putih, senanglah kita menambat hati mereka.
Itu tadi cerita juri
profesional. Sekarang kita cerita pula pasal juri awam atau penonton di rumah
(yang selalu komen gambar dalam Facebook itulah) Pendapat orang awam yang tidak
mahir dalam fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah
kerana penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi
semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya.
Kalau gambar itu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi,
kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ini, orang komen sebab
hendak jaga hati kita dan ingin ‘memeriahkan’ suasana. Kalau setakat komen
seperti ‘nice‘ atau ‘good job bro‘, anggaplah itu sebagai satu cara untuk
mengeratkan silaturrahim sahaja.
Sama juga kalau kita rakam
gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak sesuatu gambar itu, akhirnya
pelanggan yang akan tentukan. Baiklah kita pastikan dia suka gambar yang kita
rakam, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurufoto, kita akan lebih
terdorong untuk pilih gambar yang susah dirakam. Kita juga akan lebih cenderung
untuk suka kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti
rakaman gambar secara silhouette, moment yang pelik dan close-up gambar
kaki dan sebagainya. Tetapi, adakah pelanggan kita akan suka gambar macam ini?
Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri
saya samada gambar pengantin yang saya rakam itu, cantik atau tidak di mata
seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau
matematik, tidak perlu tanya pendapat orang lain, buat saja kiraan yang betul,
dapatlah jawapannya.
Jadi, dalam fotografi tidak
usahlah gaduh sangat pasal perkara yang subjektif macam sebegini. Buka fikiran
kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar
dari mereka. Kita tidak perlu ikut pendapat orang lain, tetapi sekadar menerima
itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam
fotografi, tidak ada polis akan tangkap orang yang tidak ikut rule of third. Kecuali kalau orang itu tidak ikut rule of third sambil tidak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.
Tetapi, janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam
fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi.
Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat
dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau
tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa
kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan
dan pendirian kita.
Pelukis lukisan abstrak yang kita tidak faham entah gambar apa
yang dia lukis itu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal
lukisannya dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma
angguk-anggukkan kepala. Tetapi, bila pelukis tersebut sudah ada nama dan
terkenal, dia tidak perlu bercerita panjang lebar lagi. Orang akan tunggu hasil
karya dia yang terbaru dan berebut-rebut ingin membeli. Sama juga macam jurufoto.
Seorang jurufoto yang sudah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja
pun, gambar itu tetap akan ada nilai yang tinggi. Sebenarnya, bukan gambar itu
yang bernilai tinggi sangat, tetapi, siapa yang merakam gambar tu yang lebih
penting adakalanya.
Fotografi ini satu bidang
yang luas. Ada orang yang tidak berapa nampak keluasan bidang fotografi ini.
Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tidak berapa
pandai rakam gambar, lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam
Photoshop. Kita kata, kalau hendak jadi jurufoto, mesti boleh rakam gambar
dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop
untuk mencantikkan lagi gambar yang sudah sedia cantik. Tetapi, adakah salah
kalau buat banyak kerja foto di dalam Photoshop? Tidak salah. Tetapi, orang
yang buat banyak kerja di dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai
jurufoto. Dia adalah artis photo manipulation atau artis digital imaging.
Salahkah artis yang mengubahsuai gambar di dalam Photoshop ini? Tidak salah,
dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah
bidang ini juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, bidang ini juga diterima
sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi, ianya hanyalah pecahan dari bidang
fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? Saya rasa, yang salah atau yang tidak
berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tidak
pandai rakam gambar, tetapi dia mengaku kata dia professional photographer.
Sama juga macam jenis orang
yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ini?
Tidak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia
bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Hendak dikata salah, kasar sangat
bunyinya. Cuma kita rasa tidak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ini
gelar dirinya sebagai seorang jurufoto; tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan
kamera, ikut orang pergi shooting, lepas
itu sibuk komen gambar orang, tetapi gambar dia sendiri orang lain tidak pernah
tengok. Orang macam ini boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang
fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan
duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar
itu sendiri.
Sebenarnya, saya kagum juga
dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai
dikategorikan sebagai jurufoto. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa
orang camera collector yang
hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurufoto. Malah mereka
berbangga menggelar diri mereka sebagai camera
collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap
kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang
bukan murah harganya. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongancamera collector tulen ini mempunyai
pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera
yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.
Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya
harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Diharap juga janganlah ada
yang marah dengan apa yang ingin saya sampaikan. Ianya cuma sekadar pendapat
peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain. Saya bercakap
hanya dari perspektif saya yang tidak seluas mana.