Fotografi Bukan Macam Matematik

Salam semua..hai...untuk enteri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang disampaikan oleh guru fotografi saya. semoga mendapat info berguna.

oleh: Hasnudin Abu Samah (fototeacher)

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tidak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics!

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ini. Sebabnya, fotografi dicipta melalui sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tidak perlulah risau, sebab kalau anda tidak pandai matematik pun, anda masih boleh jadi jurufoto yang bagus juga. Baiklah, cerita tadi cuma intro sahaja. Saya hendak bercakap pasal perkara lain sebenarnya.

Fotografi tidak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif dimana penilaian terhadap mutu sesuatu karya adalah begitu subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan sahaja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang telah diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tetapi, itu tidak semestinya. Gambar yang kabur  (blur/out of focus) pun boleh menjadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pula segelintir ‘kaum’, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noisepada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise itu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise itu bolehlah diabaikan saja.
Maka, akan ada pula yang akan bertanya, “Kalau noise tak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab pengeluar kamera perlu bersaing untuk jual kamera mereka. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah begitu, kita memang ingin makin maju, bukan makin mundur. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik juga bila kena dengan konsepnya.

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pula yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurufoto yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah kita menambat hati mereka.
Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pula pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook itulah) Pendapat orang awam yang tidak mahir dalam fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar itu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ini, orang komen sebab hendak jaga hati kita dan ingin ‘memeriahkan’ suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice‘ atau ‘good job bro‘, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim sahaja.

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak sesuatu gambar itu, akhirnya pelanggan yang akan tentukan. Baiklah kita pastikan dia suka gambar yang kita rakam, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurufoto, kita akan lebih terdorong untuk pilih gambar yang susah dirakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk suka kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman gambar secara silhouettemoment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tetapi, adakah pelanggan kita akan suka gambar macam ini? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam itu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tidak perlu tanya pendapat orang lain, buat saja kiraan yang betul, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tidak usahlah gaduh sangat pasal perkara yang subjektif macam sebegini. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tidak perlu ikut pendapat orang lain, tetapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tidak ada polis akan tangkap orang yang tidak ikut rule of third. Kecuali kalau orang itu tidak ikut rule of third sambil tidak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tetapi, janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.
Pelukis lukisan abstrak yang kita tidak faham entah gambar apa yang dia lukis itu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisannya dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tetapi, bila pelukis tersebut sudah ada nama dan terkenal, dia tidak perlu bercerita panjang lebar lagi. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut ingin membeli. Sama juga macam jurufoto. Seorang jurufoto yang sudah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar itu tetap akan ada nilai yang tinggi. Sebenarnya, bukan gambar itu yang bernilai tinggi sangat, tetapi, siapa yang merakam gambar tu yang lebih penting adakalanya.
Fotografi ini satu bidang yang luas. Ada orang yang tidak berapa nampak keluasan bidang fotografi ini. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tidak berapa pandai rakam gambar, lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau hendak jadi jurufoto, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang sudah sedia cantik. Tetapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto di dalam Photoshop? Tidak salah. Tetapi, orang yang buat banyak kerja di dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurufoto. Dia adalah artis photo manipulation atau artis digital imaging. Salahkah artis yang mengubahsuai gambar di dalam Photoshop ini? Tidak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah bidang ini juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, bidang ini juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi, ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? Saya rasa, yang salah atau yang tidak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tidak pandai rakam gambar, tetapi dia mengaku kata dia professional photographer.

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ini? Tidak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Hendak dikata salah, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tidak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ini gelar dirinya sebagai seorang jurufoto; tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas itu sibuk komen gambar orang, tetapi gambar dia sendiri orang lain tidak pernah tengok. Orang macam ini boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurufoto. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurufoto. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukan murah harganya. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongancamera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Diharap juga janganlah ada yang marah dengan apa yang ingin saya sampaikan. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain. Saya bercakap hanya dari perspektif saya yang tidak seluas mana.

Tips Sebelum, Semasa dan Selepas Majlis Perkahwinan

Oleh : Malique (MR.Photo)

Hai semua. Rasanya dah lama saya tak post enteri dalam blog ni. Rasa rindu yang teramat sangat. Jutaan maaf pada yang selalu view blog ni tapi masih tak update enteri ini. Kami agak sibuk kebelakangan ini menguruskan tugas harian dan shoot wedding di Negeri Sembilan dan Johor. Pada yang masih setia, kami ucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

Untuk enteri pertama Jun 2012 ini, saya nak bagi sedikit tips persediaan awal sebelum , semasa dan selepas berlangsungya majlis perkahwinan anda. Saya juga mengalu-alukan kepada anda semua sama ada yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin memberi pandangan dan cadangan untuk tajuk enteri ini dalam ruangan chat disebelah. 

Sebuah majlis yang sempurna dan meriah adalah idaman setiap pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Pendek kata, anda dan pasangan semestinya tidak mahu ada sebarang cacat cela dalam majlis anda nanti. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian untuk memastikan segala persiapan tidak akan ada kekurangan. Namun, walaupun persediaan rapi telah dibuat, anda harus bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku agar anda dan pasangan tidak tertekan semasa majlis mahupun selepas majlis berlangsung. 

Sebenarnya persediaan untuk majlis perkahwinan perlulah bemula dari awal lagi. Menyediakan satu majlis perkahwinan yang meriah bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan kos dan komitmen yang tinggi bukan sahaja dari pengantin, malah dari keluarga, teman-teman, jiran-jiran dan orang-orang penting lain yang terlibat seperti catering, DJ, Hotel, Butik Pengantin, Photographer, Videographer, Penaja-penaja dan sebagainya. Bagi yang berduit, khidmat wedding planner akan banyak membantu mereka dalam persediaan perkahwinan.

1. Persediaan Sebelum Majlis - Persediaan sebelum majlis adalah sangat penting kerana ianya merupakan penentu aras kejayaan sesuatu majlis itu. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian seperti khidmat wedding planner, khidmat butik pengantin, khidmat caterer, khidmat jurugambar, khidmat canopy, pengacara majlis, DJ, Kad kahwin, Barang Hantaran, Duit Hantaran, Tema pakaian, Banner, Bunting, Khidmat hotel atau Dewan dan sebagainya. Banyak kan? jangan panik dengan situasi ini. Buat perancangan rapi dan sentiasalah mengadakan perbincangan dengan pasangan, keluarga mahupun pihak-pihak ketiga yang saya maksudkan diatas. Tapi elakkan perbincangan last minute kerana banyak perkara yang akan tertinggal dan terlupa jika last minute. Tambahan, anda tidak akan dapat harga terbaik untuk setiap khidmat-khidmat diatas atau mungkin anda tidak akan dapat langsung perkhidmatan itu.

Walaupun anda telah melantik seorang wedding planner untuk majlis anda, perlu juga anda pastikan ada salah seorang dari keluarga anda yang akan memantau dan mengawal majlis anda. Banyak perkara yang tidak dijangkakan boleh berlaku contohnya wedding planner dan pembantunya terlibat dalam kemalangan. At least anda sentiasa ada backup planning dan bersedia dengan plan B. Bergitu juga jika anda tidak ada wedding planner, anda perlu pastikan ada orang lain yang akan mengetuai perjalanan majlis anda supaya majlis tidak menjadi ‘cacar merba’. 

Barang-barang hantaran pula kalau boleh beli sedikit demi sedikit sehinggalah lengkap semuanya sebelum majlis. Bagi yang tidak mempunyai kekuatan sumber kewangan, cara tadi amat baik dipraktikkan berbanding membeli sekaligus barang hantaran. bergitu juga dengan wang hantaran, simpan dan jimatkan perbelanjaan harian agar dapat menyediakan jumlah seperti yang dipersetuji oleh kedua-dua pihak. kalau boleh, elakkan dari meminjam dari bank kerana ia sedikit sebanyak mengganggu kehidupan selepas berkahwin nanti. Namun jika tiada pilihan dan anda sudah membuat perancangan terbaik, tiada masalah untuk meminjam dari bank untuk berkahwin. 

Persediaan lain juga perlu awal agar pada hari kejadian caterer tidak datang lambat, photographer tidak tersesat jalan, mak andam tak datang selepas tok kadi sampai, kad kawen siap sehari sebelum majlis, baju nikah tak siap-siap dan sebagainya. Semua kejadian diatas memang terjadi dan sebagai photographer, dah banyak pengalaman yang saya lalui dan saya dengar dari sahabat-sahabat. Pada yang ada pengalaman lain, boleh kongsikan di ruangan chat di sebelah. 

2. Semasa Majlis - Semasa majlis berjalan, anda dan pasangan anda adalah orang yang sepatutnya tidak lagi sibuk-sibuk didapur atau mengarah itu dan ini. Anda sebagai pengantin sepatutnya telah melantik seorang pembantu yang dalam kata lain ‘pengarah program’ pada majlis itu. Dia akan mengambil alih setiap tugasan anda dan anda hanya perlu relaks dan bersiap sedia untuk diraikan sahaja. Anda kan raja sehari, jadi perlu jadi raja dan permaisuri yang tenang dan sentiasa mengukir senyuman untuk dipotraitkan oleh jurugambar dan menerima ucapan tahniah dari sanak saudara, teman-teman dan tetamu yang hadir.

3. Selepas Majlis - Selepas majlis juga perlu diberi perhatian. Kalau boleh, selepas majlis anda tidak akan dibebani dengan pelbagai masalah seperti bayaran tertangguh, perbelanjaan terlebih dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa anda berkahwin untuk memikul amanah dan tanggungjawab, jadi dalam mengatur majlis perkahwinan, perlu pastikan bahawa anda tidak terlalu berlebih-lebihan bagi mengelakkan beban hutang (kecuali yang mendapat tajaan). Kehidupan yang sebenar bermula selepas majlis perkahwinan. Anda perlu fikir untuk membeli rumah, kenderaan, perabut dan sebagainya. Perancangan perlu betul agar masa depan anda dan pasangan serta anak-anak akan lebih terjamin.

So sahabat-sahabat sekalian, macam mana? membantu tak? ada banyak lagi yang boleh dikongsikan oleh anda semua. rajin-rajinkan diri untuk explore dan bertanya kepada teman-teman yang sudah mendirikan rumahtangga. lain padang lain belalang, lain orang lain pengalamannya. Semoga enteri ini membantu anda untuk memabuat persediaan. Yang paling penting, buat check list untuk persediaan anda, jangan sampai ada yang tertinggal dan rancanglah sebuah majlis mengikut kemampuan diri, bukan mengikut trend atau untuk menunjuk-nunjuk. Terima kasih semua kerana sudi membaca dan follow blog ini.