KENAPA PROSES MENYIAPKAN ALBUM MEMAKAN MASA SEBULAN ATAU LEBIH?

oleh : Malique(MR.Photo)

Sering kali saya diajukan soalan oleh pelanggan-pelanggan tentang masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu album perkahwinan. Bagi kebanyakkan pengantin, mereka akan faham kerja menyiapkan album bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu penelitian serta kreativiti yang tinggi oleh jurugambar mahupun album designer.

Jika di negara barat seperti Amerika Syarikat, proses untuk menyiapkan satu album memakan masa sehingga 6 bulan dan pelanggan sanggup menunggu dalam tempoh tersebut. Mereka faham bahawa sesorang jurugambar yang mereka upah akan memberikan yang terbaik buat mereka baik dari segi design mahupun gambar. Dari pembacaan saya, faktor penyebab kenapa ia mengambil masa yang lama adalah kerana proses pemilihan gambar untuk dimasukkan ke dalam album adalah cukup teliti. Di dalam album yang hanya setebal satu inci atau kurang, tidak banyak gambar yang boleh dimasukkan, apatah lagi jika saiz album adalah kecil. Justeru, pemilihan gambar yang benar-benar terbaik dan mengikut jalan cerita adalah satu kemestian. Oleh yang demikian, sesorang jurugambar akan menetapkan satu hari satu gambar sahaja yang akan dipilih bagi menjamin kualiti dan kekuatan cerita pada gambar yang dipilih. Jika di Malaysia, pasti pelanggan akan mengamuk bila album mereka belum siap walaupun baru 3 minggu majlis mereka berakhir (tapi bukan semua macam tu). 

Saya ingin berkongsi sedikit kepada pembaca macam mana proses sesebuah album dihasilkan dan anggaran masa yang diperlukan untuk sesuatu proses.

1. Proses Pemilihan Gambar - Proses pertama ini adalah proses yang paling penting kerana jika tersilap pilih gambar, ia akan menghilangkan mood pengantin untuk melihat gambar mereka. Justeru masa yang lama diperlukan antara satu minggu hingga tiga minggu untuk proses memilih gambar sahaja. Koleksi gambar yang diambil semasa majlis biasanya mencecah ribuan keping, jadi pemilihan gambar yang betul dan tepat dengan situasi adalah amat penting kerana daripada ribuan gambar tersebut, hanya beberapa puluh keping atau ratusan keping sahaja yang akan dimuatkan di dalam album. Jurugambar perlu menentukan berapakah jumlah gambar yang akan diletakkan didalam satu halaman album bagi memudahkan pemilihan gambar (biasanya satu halaman tidak lebih dari 10 keping gambar: lagi kurang, lagi bagus). kenapa lagi kurang lagi bagus? ini kerana gambar yang terlalu banyak dalam satu halaman akan membuatkan album akan nampak berserabut dan tidak esklusif lagi, tambahan pula halaman bagi satu custom album adalah sangat terhad (20 halaman) dan setiap tambahan halaman akan dikenakan charge lain oleh syarikat printing kecuali kalau buat photobook yang boleh pergi sehingga 100 halaman. 

2. Proses Memperbaiki Gambar – dalam istilah jurugambar yang tidak terdedah kepada teori fotografi, istilah yang selalu digunakan adalah ‘editing’. Namun dalam istilah fotografi sebenar ia dikenali sebagai ‘enhance’. Proses ini memerlukan kemahiran asas dalam apa jua perisian yang mereka gunakan untuk menghasilkan album dan design (biasanya ramai yang pakai perisisan adobe photoshop). Bagi gambar-gambar yang sedia cantik, tidak banyak yang perlu diperbaiki selain dari cropping, level, brightness dan contras. Bagi jurugambar yang sukakan permainan tone, masa yang lebih lama diperlukan untuk enhance gambar. Proses ini memakan masa satu minggu sehingga dua minggu. 

3. Proses Design Layout Album – Dalam proses ini, gambar-gambar yang telah melalui proses enhance tadi akan dimasukkan satu persatu ke dalam halaman album mengikut kreativiti dan jalan cerita. Kebiasaannya satu halaman akan mengambil masa setengah jam sehingga dua tiga jam kerana susun atur gambar perlu tepat dan menarik. Ia bukan sekadar satu proses letak gambar sahaja tetapi lebih kepada satu penceritaan yang berkesan ke dalam hati penatap. Selain dari pemilihan gambar yang tepat, sesuatu design dan susun atur gambar juga memainkan peranan bagi memukau penatap untuk terpaku lebih lama kepada gambar. Jika gambar dan design hambar, maka penatap hanya setakat selak sekali dua dan tidak mahu lagi melihat album tersebut lain kali. Proses ini kebiasaanya mengambil masa selama tiga atau empat hari bergantung kepada kepuasan hati pembuat. Jika pembuat album sendiri tidak berpuas hati, pelanggan apatah lagi. Justeru selagi pembuat album tidak berpuas hati, selagi itulah proses pengemaskinian akan berlaku dan mungkin akan memakan lebih banyak masa.

4. Proses Printing – Proses terakhir adalah menghantar album ke kedai/kilang printing. Proses ini kebiasaannya memakan masa sehingga seminggu dan ada juga syarikat printing yang mampu menyiapkannya dalam masa 4 hari sahaja bergantung kepada kuantiti dan material album. Pun begitu, proses ini tidak berakhir begitu sahaja selepas album diterima. Setiap album yang diterima perlulah dipastikan kualitinya sama seperti yang diinginkan atau sekurang-kurangnya hampir sama. Saya sendiri juga amat cerewet dengan kualiti album yang saya hantar. Jika kualiti tidak sama seperti yang saya inginkan, saya akan pulangkan semula pada syarikat tersebut untuk printing semula atau sekurang-kurangnya memperbaiki album tersebut. 

Jika dicampurkan masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu album di atas, ia telah melebihi tempoh sebulan. Walaubagaimanapun, ada juga jurugambar perkahwinan yang mampu menyiapkan album hanya dalam masa 3 minggu terutamanya yang menjadi jurugambar sepenuh masa. Bagi yang membuat part time photographer, sudah tentu ada kekangan-kekangan tertentu seperti tugas hakiki dan keluarga. Namun begitu, ia bukan alasan untuk tidak menjaga kualiti produk. Cuma ada sesetengah dari jurugambar ini yang membuat kerja seperti melepaskan batuk ditangga. Pelanggan perlu bijak memilih jurugambar perkahwinan mereka dan sentiasa berbincang dengan jurugambar untuk mendapatkan mood dan suasana yang terbaik bagi hari bersejarah mereka.