FOTOGRAFI SOSIAL : FOTOGRAFI PERKAHWINAN


oleh : Malique (MR.PHOTO)

Saya tertarik dengan rangkap tulisan yang ditulis oleh pengarang dalam Majalah Aperture keluaran Mac 2012 diruangan Fokus tentang fotografi sosial. Sedikit pebincangan berkenaan isu fotografi perkahwinan dan saya bersetuju dengan tulisan pengarang tersebut.

Katanya “ fotografi perkahwinan merupakan tanggungjawab berat dan tiada istilah ‘cuba lain kali’ atau ‘peluang kedua’. Jika anda tidak yakin akan keupayaan diri, elakkan daripada menerima tugasan merakam perkahwinan.”

Sememangya saya dan ramai photographer perkahwinan lain mengakui tugas sebagai jurugambar rasmi majlis perkahwinan sebenarnya bukan kerja main-main dan aktiviti suka-suka dan boleh saya istilahkan sebagai satu tugas ‘berat’.  Justeru hasil kerja perlulah yang terbaik untuk pelanggan kerana kita dibayar untuk perkhidmatan tersebut.

Berdepan dengan khalayak bukanlah sesenang yang disangkakan, apatah lagi kerja sebagai photographer perkahwinan bukan sekadar memerlukan kemahiran menangkap gambar tetapi kemahiran berkomunikasi juga perlu tinggi untuk mengawal situasi majlis. Memang benar, bukan sekadar Pengacara Majlis yang mengawal majlis, photographer juga turut memainkan peranan penting dan untuk itu photographer perlu sentiasa ke depan dan dalam masa yang sama memberi ruang kepada jurugambar-jurugambar lain untuk mengambil gambar pengantin. Komunikasi dengan mak andam juga penting untuk mewujudkan suasana ‘menang-menang’. Kadang kala mak andam selalu mengganggu tugas photographer dan photographer juga selalu mengganggu tugas mak andam, justeru komunikasi yang betul perlu wujud agar kedua-dua pihak selesa untuk bekerja.

Photographer juga perlu berani memberikan arahan kepada pengantin dan ahli keluarga untuk bekerjasama jika tidak hasil gambar yang kita mahukan pasti tidak akan diperolehi. Bagi majlis yang berjalan hambar tanpa ada suasana yang menarik, photographer perlu bertindak untuk mewujudkan suasana menarik dalam majlis  agar gambar yang diambil nampak meriah dan menarik. Situasi meriah perlu diwujudkan kerana apabila ia dipindahkan ke dalam album nanti, suasana itu seolah-olah hidup dan tidak bosan untuk dilihat berkali-kali.

Berdepan dengan saudara mara dan tetamu yang tiada respek kepada photographer juga ada berlaku dalam majlis. Justeru, photographer perlu lebih tenang dan pandai mengambil hati mereka untuk menyenangkan kerja mengambil gambar. Sentiasa wujudkan suasana gurau senda dan selesa tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai jurugambar.

Sebenarnya, ada banyak lagi situasi sukar yang dihadapi oleh photographer yang menunjukkan bahawa tugas seorang photographer bukanlah semudah yang disangkakan. Pengatahuan, ilmu dan pengalaman perlu ada sebelum benar-benar menceburi bidang fotografi perkahwinan. Saya sendiri juga punyai pengalaman pertama yang mendebarkan saat mula-mula menceburi bidang ini kerana saya bermula tanpa ada tunjuk ajar dari kenalan dan saya buat seorang diri dengan menggunakan kamera pinjam. Malah sehingga kini walaupun sudah ramai pengantin yang menjadi pelanggan saya, perasaan berdebar masih ada sebelum memulakan tugas kerana lain pengantin lain situasinya. Tetapi wajib bagi saya untuk menunjukkan sifat professional semasa bekerja dan membuat sehabis baik untuk pelanggan. Walau apa pun perasaan kita sebelum ini, beri keutamaan kepada pelanggan kerana mereka mengharapkan kita untuk mendokumenkan majlis mereka di dalam bentuk persembahan yang menarik dan indah untuk diingati selamanya.

Satu perkara yang amat penting juga adalah hasil akhir kerja kita. Pada pendapat saya semua orang boleh mengambil gambar dengan baik dan dengan sangat baik. Namun penilaian pelanggan adalah pada hasil akhir kita iaitu album. Jika hasil kita menarik, pelanggan akan meng ‘war-war’ kan nama kita kepada sahabat dan saudara mara yang lain. Dan jika sebaliknya, maka kita akan cepat ‘mati’ sebelum ajal dalam industri ini. Persaingan semakin hebat, photographer perkahwinan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pelanggan punyai banyak pilihan baik dari segi hasil kerja ataupun nilai wang. Bagi pelanggan yang bijak, mereka akan memilih photographer yang mementingkan mutu bersesuaian dengan harga. Bagi pelanggan yang kekurangan sumber kewangan, mereka akan memilih photographer yang boleh memberikan mereka pakej terendah di pasaran. Dalam hal ini kadang kala saya turut bersimpati kerana hasil kerja akhir beberapa photographer perkahwinan tidak begitu menarik dan tangkap muat sahaja. Alasan yang diberikan adalah pelanggan ‘bayar murah’. Saya hanya terdiam dan mengatakan dalam hati ‘kesian’. Namun apa lagi yang boleh saya katakan, kerana realiti memang seperti itu, ‘what you give, you get back’.

Menjadi photographer perkahwinan menemukan saya dengan banyak pengalaman pahit dan manis. Memang benar, tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan jika tidak bersedia dan yakin, lebih baik jangan menjadi photographer perkahwinan. Juruskan lah minat anda kepada fotografi landskap atau fotografi jalanan. Selain itu, jika benar-benar minat dalam bidang fotografi perkahwinan, pergilah belajar dari sahabat-sahabat atau guru fotografi. Di luar sana ramai yang mebuka kelas fotografi dengan pakej harga yang bersesuaian. Melabur lah sedikit wang untuk ilmu dan pengalaman. Tidak kurang juga yang bermula sebagai pembantu photographer sehinggalah dia benar-benar yakin untuk menjadi official photographer. Apa yang penting adalah minat yang mendalam yang akhirnya membangkitkan keghairahan dalam bidang fotografi.