Apa yang anda tahu tentang Fotografi?


Fotografi ialah proses untuk menghasilkan gambar foto melalui tindakan cahaya. Pola-pola cahaya yang dipanculkan atau dipancarkan oleh objek-objek dirakamkan pada perantaraan peka atau cip storan melalui pendedahan tempoh tertentu. Proses ini dilaksanakan melalui peranti-peranti mekanik, kimia atau digit yang dikenali sebagai kamera.
Perkataan fotografi datang daripada perkataan Greek, iaitu φως phos ("cahaya"), dan γραφις graphis ("stilus", "berus lukis"), atau γραφη graphê yang bersama-sama bermaksud "pelukisan dengan cahaya" atau "lukisan". Secara tradisi, hasil daripada fotografi dipanggil "gambar foto". Dalam fotografi digit, istilah "imej" telah bermula menggantikan istilah "gambar foto". (Istilah "imej" ialah istilah tradisi dalam bidang optik geometri. Fotografi juga dikenali sebagai "tangkap gambar" dalam bahasa Melayu.
Prosesnya melibatkan dua peralatan penting iaitu:
1.    Pengumpul cahaya = Kamera
2.    Perakam cahaya = Filem atau sensor

Kamera ialah alat yang digunakan untuk merakam imej sebagai gambar foto yang pegun atau satu susunan imej bergerak (filem atau video). Istilah ini serta kamera masa kini berevolusi dari camera obscura, frasa bahasa Latin bagi "bilik gelap", suatu mekanisme awal bagi memaparkan imej, yang mana seluruh bilik yang berfungsi sebagai sistem penghasilan imej tepat pada masa. Camera obscura ini mula-mula dicipta oleh ahli sains Muslim bernama Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham dan disifatkan dalam buku beliau bertajuk Kitab al-Manazir ("Buku Optik", 1015-1021). Saintis berbangsa Inggeris Robert Boyle dan Robert Hooke kemudiannya mencipta camera obscura yang mudah alih sekitar 1665-1666.
Kamera boleh berfungsi melalui cahaya spektrum nyata atau melalui bahagian-bahagian lain pada spektrum elektromagnetik. Sesebuah kamera biasanya berlampirkan sejenis rongga dengan satu bukaan di sebelah bagi memasukkan cahaya, dan satu permukaan rakaman atau pandangan bagi menangkap cahaya itu pada sebelah yang lain. Kebanyakan kamera mempunyai sebutir lensa yang terlatak di hadapan bukaan kamera untuk mengumpul cahaya yang masuk dan untuk memfokuskan imej, atau sebahagian imej, pada permukaan rakaman. Diameter bukaan itu biasanya dikawal oleh satu mekanisme diafragma, namun ada kamera yang mempunyai bukaan bersaiz tetap.
Penderia atau Sensor merupakan sejenis pemindah. Penderia petunjuk lansung seperti termometer merkuri, boleh dibaca oleh manusia. Penderia lain seperti termogandingan hanya menghasilkan output voltan atau elektrik lain yang perlu ditafsirkan oleh alat lain (seperti komputer). Kebanyakan penderia adalah elektrik atau elektronik, namun ada juga penderia jenis lain. Bagi mencapai kejituan mutlak, pententukuran harus digunakan.
Penderia digunakan dalam alat-alat kegunaan harian seperti butang penaik peka sentuh atau lampu yang digelap atau diterang dengan menyentuh tapaknya. Aplikasi penderia termasuk dalam pembinaan automobil, mesin, aeroangkasa, perubatan, industri dan robotik.
Kesensitifan penderia menunjuk beberapa banyak output penderia itu berubah apabila kuantiti yang diukur berubah. Sebagai contoh, kalau merkuri dalam dalam termometer bergerak 1 cm apabila suhu berubah 1 °, kesensitifannya ialah 1 cm/1°. Penderia yang mengukur perubahan yang sangat kecil mesti mempunyai kesensitifan yang tinggi.
Kemajuan dalam teknologi membolehkan lebih banyak penderia dihasilkan pada skala mikroskop seperti teknologi MEMS. Kebanyakan penderia mikroskop mencapai kepantasan dan kesensitifan yang lebih tinggi berbanding dengan penderia makroskop.

Sumber dari Wikipedia, ensiklopedia bebas.