Trend atau Keperluan?


oleh : Malique (MR.Photo)

Alhamdulillah, tambah satu bulan lagi dalam tahun 2012 ini. Untuk enteri pertama bulan April ini, saya ingin berkongsi kepada rakan-rakan pembaca berkenaan satu topik yang saya kira menarik untuk diketengahkan. Apa pandangan anda sekiranya diajukan soalan perlukah menggunakan khidmat jurugambar perkahwinan untuk majlis perkahwinan anda atau adakah kalau anda tidak mengupah jurugambar, anda dikatakan tidak mengikut trend semasa?

Pandangan peribadi saya sendiri adalah, ‘Ya’ saya perlukan jurugambar untuk majlis perkahwinan saya kerana mereka akan mendokumenkan hari bersejarah saya yang bakal diingati dan dipertontonkan kepada anak cucu saya nanti. Untuk jawapan adakah saya tidak mengikut trend jika tidak mengupah jurugambar perkahwinan, jawapan saya ‘tidak’ dan ‘ya’. Jawapan ‘Tidak’ adalah kerana saya tidak perlu mengikut trend kerana ia bergantung kepada kemampuan saya. Jawapan ‘Ya’ pula adalah kerana apabila selesai majlis perkahwinan, ramai akan bertanya atau meminta untuk melihat album perkahwinan saya dan pada masa itu saya akan menyesal kerana tidak mengupah jurugambar pada majlis perkahwinan saya. Pernah juga saya mempunyai impian untuk melihat gambar perkahwinan ibu bapa saya dahulu, tapi sayang tidak ada, mungkin kerana kesempitan hidup dahulu maka ibu bapa saya tidak mampu mangupah jurugambar atau tidak terfikir langsung untuk mengupah jurugambar kerana pada masa itu, trend mengupah jurugambar hanyalah dikalangan mereka yang mempunyai kedudukan dan harta sahaja. Tetapi apa yang boleh dikongsikan bersama di sini adalah, anak-anak saya akan datang tidak dapat melihat gambar perkahwinan saya dan isteri jika saya tidak mengupah jurugambar hari ini.

Sama ada mengikut trend atau tidak, itu bukanlah isu yang besar.  Yang penting adalah kemampuan dan keinginan pasangan pengantin sendiri. Namun begitu, kelahiran ramai jurugambar majlis perkahwinan pada ketika ini memberikan satu fenomena berbeza yang tidak mampu ditolak oleh setiap pasangan yang ingin berumahtangga. Sebut sahaja nak kahwin, pilihan jurugambar terbentang luas di depan mata dan di hujung jari. Letakkan saja penanda aras harga, bermacam sebut harga terhidang di depan mata dan di corong telinga (Pilih baik-baik dik). Ia bagaikan satu virus yang menyerang pengantin dalam pencarian jurugambar.

Bercakap tentang trend juga, kini wujud berbagai trend possing dan kreativiti dari jurugambar (macam-macam ada). Dari possing melompat, meniarap, memanjat, memandang langit, memandang kanan dan kiri, main kejar-kejar sehingga possing di dalam air. Tidak kira apa pun bentuk possing anda, yang penting pengantin suka dan rela untuk membuatnya. Melalui pemerhatian saya dan pandangan saya sendiri, jurugambar-jurugambar masakini sentiasa bersaing untuk memperlihatkan kreativiti mereka yang dianggap berbeza dari jurugambar lain. Oleh kerana itulah lahirnya berbagai-bagai possing yang rata-ratanya boleh diterima oleh masyarakat yang melihat dan tak kurang juga ada yang tak suka. (Saya suka yang simple tapi ada moment). Ada juga jurugambar yang berada dalam ketegori ‘Syok Sendiri’. Main redah saja possing tanpa bertanya kepada pengantin, mereka suka atau tidak possing tu. Dik, kita nak ambik gambar pengantin, jadi jangan ketepikan pendapat mereka. Mungkin kita jurugambar yang sukakan landskap dan portfolio kita pun banyak gambar pengantin dan landskap, tapi kena tanya pengantin juga mereka suka bentuk gambar yang macam mana, sama ada landskap atau portrait. Kalau dah semua gambar yang kita ambil lebih fokus pada landskap, mana perginya moment perkahwinan mereka. Sekeping dua boleh la ambik gambar landskap, selebihnya ambil la gambar portrait (gambar yang lebih memfokuskan wajah mereka). Dan juga satu ingatan, jangan buat possing membahayakan diri pengantin mahupun jurugambar sendiri. Aspek keselamatan, perlu diutamakan.

Selain trend possing, satu perkara yang menjadi trend terbaru jurugambar kini adalah ‘editing’ pada gambar. Pagi-pagi buka facebook, terpapar macam-macam jenis editing gambar perkahwinan (pada yang add jurugambar la). Ada editing biasa, tone dan tak kurang juga editing melampau. Dik, untuk publish tak menjadi masalah untuk buat editing melampau, tapi untuk album, tolong elakan editing melampau. Ini kerana, editing melampau akan menghilangkan keaslian gambar tersebut. Tak perlu saya ceritakan apa itu editing melampau, masing-masing tahu perkara tersebut. Akan tetapi, kalau pengantin suka, tidak menjadi masalah untuk edit melampau sehingga tidak boleh diterima oleh akal sekalipun.

Itu semua pendapat peribadi saya sahaja. Masing-masing ada cara tersendiri dalam berkarya. Yang penting pengantin puas hati. Tidak kira apa pun konsep yang kita gunakan, lakukan dengan terbaik kerana gaji ‘halal’ yang dibayar kepada kita adalah untuk sesuatu yang terbaik sepertimana yang mereka harapkan.

(Apa pula trend 2013 ye? emmmm?????)